Thursday, March 31, 2011

ISLAM AGAMA YANG BENAR..




Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah SWT ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (ali-‘Imran: 19)

Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat yang lalu menegaskan bahawa tiada tuhan, yakni tiada Penguasa yang memiliki dan mengatur seluruh alam kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Jika demikian, ketundukan dan ketaatan kepada-Nya adalah kepercayaan yang tidak boleh dibantah.

“Sehingga itu hanya keislaman yakni penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT yang diakui dan diterima di sisi-Nya. Agama atau ketaatan kepada-Nya merupakan alamat penyerahan diri secara mutlak kepada Allah SWT. Islam dalam erti penyerahan diri adalah hakikat yang ditetapkan Allah SWT dan diajarkan oleh para Nabi sejak dari Nabi Adam AS hinggalah Muhammad SAW”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-19 ali-‘Imran

Ibn Jarir meriwayatkan daripada Qatadah, katanya Islam ialah penyaksian bahawa Tuhan itu hanyalah Allah SWT dan mengakui segala yang datang adalah daripada Allah SWT.

Islam merupakan agama Allah SWT yang disyariat untuk diri-Nya. Oleh itu, Dia mengutus para Rasul dan para wali-Nya untuk membawa risalah Islam. Dia tidak akan menerima agama lain selain daripada Islam dan tidak berhajat menganugerahkan ganjaran di luar daripada agama (Islam).

Al-Qurtubi berkata: “Al-Din dalam ayat ini ialah ketaatan dan agama. Islam dengan makna iman dan taat”. Inilah juga pendapat Abu al-‘Aliah dan jumhur Mutakallimin.

Menurut Ibn Kathir ayat ini mengandungi peringatan dari Allah SWT bahawa tiada agama di sisi-Nya dan yang diterima-Nya dari seorang pun kecuali Islam iaitu mengikuti Rasul-Rasul yang diutus-Nya setiap saat hingga berakhir dengan Muhammad SAW. Dengan kehadiran beliau, telah tertutup semua jalan menuju Allah SWT kecuali jalan dari arah Baginda sehingga siapa yang menemui Allah SWT setelah diutusnya Muhammad SAW dengan menganut satu agama selain syariat yang beliau sampaikan, maka tidak diterima oleh-Nya.

Syeikh Al-Sya’rawi menyatakan bahawa Islam tidak terbatas hanya pada risalah Muhammad SAW sahaja. Sebenarnya Islam adalah ketaatan makhluk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam ajaran yang dibawa oleh para Rasul, yang didukung oleh mukjizat dan bukti-bukti yang meyakinkan.

Islam untuk ajaran para Nabi yang lalu merupakan sifat, sedang umat Nabi Muhammad SAW memiliki keistimewaan dari sisi kesinambungan sifat sekali gus menjadi tanda dan nama baginya. Ini kerana Allah SWT tidak lagi menurunkan agama selepas datang Nabi Muhammad SAW.

Selanjutnya Syeikh al-Sya’rawi mengemukakan bahawa nama (Muhammad SAW) ini telah ditetapkan jauh sebelum kehadirannya.

Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat di atas menegaskan bahawa mereka telah mengetahui kebenaran, namun demikian mereka bukan sahaja dikecam bahkan diancam dengan sedemikian rupa”.

Beragama bukan sekadar pengetahuan tetapi ketundukan dan ketaatan. Keberagamaan memerlukan buah sedangkan tumbuhan tidak akan berbuah jika tiada tanah yang subur merupakan kesucian hati. Bukankah air yang tercurah dari langit tidak menghasilkan buah tanpa ada tanah yang subur yang digarap?

Mereka yang berselisih kerana enggan menerima ajaran para Rasul, apa lagi setelah mereka ketahui adalah orang-orang kafir terhadap ayat-ayat Allah SWT dan barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah SWT maka Allah SWT akan menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Hukuman yang sangat cepat dan janganlah kamu menduga ia lambat kerana Allah SWT sangat cepat hisabnya.

Bagi mendapat penjelasan berkenaan dengan maksud iman, Islam, usuluddin dan akidah diterangkan di sini pengertiannya.

Pertama: Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan.

Kata Ibnu Mandzur di dalam kitab Lisan al-Arab, “Ulama-ulama

bahasa Arab dan yang lainnya telah sepakat menyatakan bahawa pengertian iman adalah percaya dan membenarkan”.

Iman

Sementara iman dari segi istilah syarak pula adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui.

Kedua: Islam dari segi bahasa ialah penyerahan, pengakuan, kepatuhan dan meninggalkan sebarang bentuk penentangan dan keengganan.

Pengertian Islam dari segi syarak pula ialah pelaksanaan serta kepatuhan kepada segala ajaran agama yang mudah diketahui, yang dibawa oleh Rasulullah SAW atau terdapat dalil yakin yang mentafsirkan pengertian Islam sebagaimana hadis Jibril AS.

Ketiga: Akidah dari segi bahasa ialah sesuatu yang menambat hati seseorang. Daripada itu, pengertian tersebut digunakan sebagai anutan seseorang terhadap pemikiran dan pendapat yang diimaninya, dan meresap ke dalam hati sanubari yang akhirnya membentuk tindak-tanduk dan tingkah-lakunya.

Justeru ada pendapat yang mentakrifkan manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri iaitu segala kepercayaan dan sesuatu yang diimaninya.

Menurut kamus Misbah al-Munir, perkataan aku beriktiqad demikian bermaksud aku menambat hati sanubari kepadanya, dan perkataan aqikah bermaksud sesuatu fahaman yang dianuti oleh seseorang sehingga dia mempunyai pegangan yang baik dan tidak diragui.

Pengertian akidah pada istilah pula ialah para ulama Islam menggunakan perkataan akidah ini sebagai ilmu yang lazimnya bermaksud ilmu yang membahaskan perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan.

Akidah juga dinisbahkan kepada prinsip-prinsip agama itu sendiri yang thabit dengan dalil yang kukuh.

Keempat: Perkataan Usul ialah kata jamak daripada perkataan asal. Dari segi bahasa ia merupakan sesuatu yang di atasnya di bina sesuatu yang lain bersandar kepadanya. Disebut dalam kamus al-Misbah al-Munir asal bagi sesuatu ialah sesuatu yang menjadi dasarnya, sebagaimana asas bagi tembok.

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan keyakinan kita betapa agama yang sebenarnya di sisi Allah SWT ialah Islam adalah agama para Nabi dan Rasul.

Semoga kita sentiasa istiqamah dan memahami ajaran Islam serta menghayatinya hingga ke akhir usia. Amin.


Wednesday, March 30, 2011

Haram sambutan april fool..


Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak sehebat perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Saturday, February 12, 2011

khutbah jumaat-hari kekasih haram bagi semua umat islam-

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.

Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi.

Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).

Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’

Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakejstimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine:

Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas.

Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.

Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), dibawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.”

Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut :

At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February.

Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.

Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’.

Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.

Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.